119 kematian di rumah akibat Covid-19, 12 lengkap dos vaksin

119 kematian di rumah akibat Covid-19, 12 lengkap dos vaksin

NORLELA ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak 119 kes kematian di rumah (BID) dalam kalangan pesakit Covid-19 dicatatkan di Pulau Pinang dalam tempoh antara Januari hingga akhir bulan lalu iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kematian akibat pandemik tersebut di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 12 kematian di rumah melibatkan mereka yang sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin.

Daripada jumlah itu juga katanya, satu kes kematian di rumah melibatkan pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak; belia (17); dewasa (51) dan warga emas (50).

“Sebanyak 77 kematian di rumah berlaku dalam kalangan pesakit lelaki manakala 42 pesakit wanita yang terdiri daripada 95 warga tempatan dan 24 warga asing,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Norlela (PKR-Penanti) berharap, kerajaan Pusat khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dapat menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada Pulau Pinang untuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) berisiko rendah.

Kata beliau, peruntukan itu dapat membantu kerajaan negeri untuk menjadikan hotel-hotel bajet misalnya sebagai PKRC berisiko rendah sekali gus dapat memastikan pesakit Covid-19 dapat dikuarantin di tempat yang lebih sesuai dalam memutuskan rangkaian jangkitan dalam komuniti.

“Ketika ini terdapat kira-kira 7,800 pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang dikuarantin di rumah dan sekiranya pesakit ini dapat ditempatkan di PKRC, mereka dapat dipantau dan diberi rawatan dengan sempurna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN