JERANTUT: Sebanyak 1,150 ekor ayam segar disumbangkan kepada 572 buah keluarga yang terlibat di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut di sini hari ini.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, sumbangan ayam segar itu diterima Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) di situ untuk diagihkan dengan dua ekor setiap buah keluarga termasuk kakitangan Felda, kuarters guru dan anak peneroka.
“Saya bersimpati dengan kesukaran penduduk di sini tidak dapat keluar berbelanja ketika masih dalam penguatkuasaan PKPD selama dua minggu mulai 25 Ogos lalu hingga 7 September ini. Berikutan itu Pejabat Parlimen Jerantut beramal jariah menyumbangkan ayam berkenaan.
“Bekalan ayam ini diperoleh daripada Pasar Raya Darulmakmur bandar Jerantut untuk keperluan penduduk di sini termasuk mereka yang memerlukan dalam tempoh PKPD ini,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini hari ini.
Ahmad Nazlan, sebelum ini, Pejabat Parlimen Jerantut juga pernah menyumbangkan sejumlah 1,300 ekor ikan patin kepada penggiat dan pengusaha pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan yang juga terlibat di bawah penguatkuasaan PKPD pada 8 hingga 21 Ogos lalu.
“Saya berharap penduduk di sini bersabar serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan lebih penting lagi duduk di rumah, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta amalan norma baharu sehingga suasana pulih semula bagi membolehkan PKPD dapat ditamatkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE