PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus mempergiatkan usaha memerangi kenderaan perdagangan membawa lebih muatan bagi memastikan pemilik mematuhi standard keselamatan jalan raya.
Penegasan ini dibuat berdasarkan laporan Kementerian Pengangkutan (MoT) sebanyak 153,904 kemalangan melibatkan jentera berat direkodkan bagi tempoh 2021 sehingga tahun lalu dengan sebahagian besarnya adalah kenderaan lori.
Daripada jumlah itu, lori mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 138,770 manakala selebihnya iaitu 15,134 (bas).
Menerusi operasi khas kenderaan perdagangan lebih muatan bermula Oktober lalu hingga 31 Disember ini, sebanyak 6,404 notis saman dikeluarkan JPJ terhadap kenderaan perdagangan kerana membawa lebih muatan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu sebanyak 4,743 notis dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan di bawah saman (JPJ P22).
Katanya, sebanyak 1,538 notis dikeluarkan oleh Agensi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP) manakala 123 lagi dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awan Darat (APAD).
Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 22 kenderaan lebih muatan telah disita sepanjang Operasi Perang Lebih Muatan yang berkuat kuasa mulai 14 Oktober di negeri ini.
Tegas Azrin, operasi penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan bukan untuk menghukum, sebaliknya mendidik dalam memastikan pengendali serta pemilik mematuhi standard keselamatan jalan raya demi kepentingan bersama.
Selain sitaan, katanya, sebanyak 39,555 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan setakat Rabu lalu.
“Antara kesalahan tertinggi seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh iaitu 5,160 notis, diikuti oleh tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (4,440 notis), tiada perlindungan insuran (3,492 notis), tiada Lesen Vokasional (2,299 notis).
“Bagi kesalahan lebih muatan pula merekodkan 1,080 notis,” katanya dalam sidang akhbar Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini semalam.
Operasi itu melibatkan kekuatan anggota JPJ Selangor, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Kata beliau, tindakan tegas akan terus diambil tanpa pengecualian terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan.
“JPJ Negeri Selangor menegaskan bahawa penguatkuasaan yang dilaksanakan bagi memastikan kenderaan perdagangan mematuhi spesifikasi teknikal, had muatan yang ditetapkan dan standard keselamatan jalan raya demi kepentingan bersama,” ujarnya.
Pada 14 Oktober lalu, MOT melalui JPJ melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengekang kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, operasi yang dinamakan Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan itu dilaksanakan serta-merta hingga 31 Disember. – UTUSAN










