104 kes BID tertinggi, kes kematian kekal melepasi 300 - Utusan Malaysia

104 kes BID tertinggi, kes kematian kekal melepasi 300

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 104 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID) tertinggi daripada 362 kes kematian Covid-19 yang dilaporkan di seluruh negara, hari ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes BID tersebut, sebanyak 69 kes warga Malaysia dan 35 kes warga asing.

Kata beliau, daripada 362 kes kematian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 304 warga Malaysia dan 58 warga asing manakala sebanyak 17,883 kes jumlah kematian Covid-19 dicatatkan sehingga kini. 

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 256,302 termasuk 978 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan 460 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 19,057 kes harian negara dilaporkan termasuk 10 kes import dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 1,824,439 kes, manakala kes sembuh merekodkan sebanyak 21,582 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Untuk rekod, pada 8 Ogos lalu, sebanyak 360 kematian direkodkan dan 393 kematian pada 26 Ogos manakala, sebanyak 330 kematian dilaporkan semalam.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 405 kes (2.1 peratus) daripada kes harian semalam adalah kategori tiga, empat dan lima serta sebanyak 18,652 kes (97.9 peratus) kategori satu dan dua.

“Selain itu, sebanyak 8,544 kes (44.8 peratus) tiada sejarah vaksinasi, 4,393 kes (23.1 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau dua dos vaksin tetapi tidak melebihi 14 hari dari tarikh dos kedua dan 6,120 kes (32.1 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 16 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 12 kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster pendidikan lain. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN