SEREMBAN: Sebanyak 1,012 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Sembilan bagi tempoh Mac 2020 hingga 31 Ogos lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, daripada jumlah tersebut, 567 orang merupakan mangsa lelaki dan 445 orang wanita membabitkan pelbagai peringkat umur antara 11 sehingga lebih 100 tahun.
“Daerah Seremban mencatatkan angka tertinggi iaitu seramai 665 individu diikuti Port Dickson (100), Jempol (65), Tampin (54), Kuala Pilah (54), Rembau (46) dan Jelebu (28).
“Kerajaan negeri telah menyumbangkan RM1,000 kepada waris keluarga yang meninggal dunia bagi meringankan beban mereka, membabitkan peruntukan sebanyak RM116,000 setakat Julai lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin tahu jumlah kematian akibat Covid-19 di negeri ini dalam sesi pertanyaan dan jawapan lisan pada hari ketiga Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.
Sementara itu, menjawab soalan Mustapha Nagoor (BN-Palong), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah itu memberitahu, seramai 84 pesakit mental telah didiagnos di klinik-klinik kesihatan di negeri ini bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2021.
Beliau berkata, sebanyak 25 kes bunuh diri direkodkan di negeri ini bagi tempoh Januari tahun ini hingga Julai lepas yang melibatkan pelbagai faktor seperti masalah kewangan, tekanan perasaan dan salah guna dadah.
Dalam perkembangan lain, Veerapan berkata, sebanyak lima kes pembuangan sisa kimia dan toksik ke sungai telah dikesan di negeri ini bagi tempoh tahun 2019 sehingga tahun ini. – UTUSAN










