1MDB: Dua minit mesyuarat berbeza - Utusan Malaysia

1MDB: Dua minit mesyuarat berbeza

Bicara kes skandal 1MDB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu wujud perbezaan antara dua minit mesyuarat Lembaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan dokumen asal.

Menurut bekas Pengarah Pelaburan Terengganu Investment Authority (TIA), Kelvin Tan Kay Lin, tiada nama ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu lagi minit mesyuarat yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kelvin, 50, berkata berbanding minit mesyuarat disediakan dan dihadiri beliau pada 26 September 2009, tercatat kehadiran beberapa ahli Lembaga Pengarah 1MDB dan Jho Low sendiri.

“Merujuk kepada dokumen ‘Minutes Of The Special Meeting Of The Board Of 1MDB’ dan saya mengesahkan tidak pernah melihat dokumen ini sehingga ditunjukkan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa merakam percakapan saya.

“Saya sahkan isi kandungan dokumen ini sama seperti dokumen dirujuk sebelum ini. Namun begitu saya sahkan terdapat sedikit perbezaan di mana ruangan ‘By Invitation’ apabila hanya terdapat satu penama wujud iaitu Casey Tang Keng Chee sedangkan pada mesyuarat terdapat seorang lagi individu hadir iaitu Low Taek Jho.

“Saya tiada pengetahuan bagaimana isi kandungan ini dipinda di mana ‘Low Taek Jho’ telah tiada pada muka surat satu dokumen ini.

“Bagaimanapun, saya mengesahkan bahawa penama Low Taek Jho ada hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 September 2009,” kata saksi kelapan pendakwaan itu ketika membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Dalam pada itu, Kelvin memberitahu, Jho Low memaklumkan beliau akan mempunyai peranan sebagai Penasihat Lembaga setelah ditanya oleh seorang Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin berhubung tujuan kehadiran ahli perniagaan itu dalam mesyuarat tersebut.

“Kesemua ahli mesyuarat maklum berkenaan hal tersebut dan tidak ada seorang yang mempertikaikan berkenaan hal tersebut,” katanya.

Namun menurut Kelvin, sepanjang pengetahuannya, Jho Low tidak mempunyai sebarang peranan atau jawatan di dalam 1MDB yang membolehkannya hadir pada mesyuarat berkenaan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung disambung pada 9 September ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN