PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pasukan Petugas Khas Covid-19 Kebangsaan (CITF) bersetuju untuk memberi vaksin kepada seluruh warga pengajian tinggi menjelang Oktober depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, proses itu dilaksanakan secara berperingkat sebagai usaha mewujudkan gelembung kampus (campus bubble).
“Usaha ini supaya lebih ramai pelajar dapat kembali ke kampus secara berfasa dan menjalani pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara hibrid.
“Ia merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Institut Pengajian Tinggi (PEMULIH IPT) yang sedang dirangka oleh pihak kementerian,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook rasminya hari ini.
Beliau berkata, dalam PEMULIH IPT, beberapa strategi dan prosedur operasi standard (SOP) sedang diperincikan.
“Ia bagi menentukan keadaan di mana mereka yang sudah divaksin selamat untuk berinteraksi sesama sendiri dan dalam kelompok yang telah divaksin.
“Selain daripada itu, turut sedang diperhalusi ialah langkah-langkah kawalan dalam mengekang penularan Covid-19 di IPT,” jelasnya.










