PETALING JAYA: Wanita Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung jumlah majoriti sokongan ahli Parlimen.
Timbalan Ketua Wanita PH, Senator Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu berkata, laporan itu dibuat kerana mengesyaki Muhyiddin menipu Yang di-Pertuan Agong dari segi jumlah sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menyokong beliau setakat ini.
“Muhyiddin telah mempersembahkan kepada Seri Paduka sejumlah surat akuan daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan beliau bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti. Sedangkan angka yang beliau persembahkan itu jelas palsu.
“Ini kerana, sekitar 115 Ahli-ahli Dewan Rakyat telah sepakat menolak kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, jumlah itu berdasarkan 107 Ahli-ahli Dewan Rakyat daripada pembangkang dan lapan ahli Parlimen UMNO yang menolak kepemimpinan Muhyiddin.
“Justeru, kami berpendapat yang berkemungkinan besar Muhyiddin telah mempersembahkan akuan sokongan palsu kepada Seri Paduka baginda apabila beliau menyembah maklum bahawa masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Laporan polis yang telah kami Wanita PH buat pada pukul 8 malam, 4 Ogos 2021 adalah untuk memohon agar Muhyiddin disiasat segera mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










