Wakil rakyat GPS kekal sokong PN - Utusan Malaysia

Wakil rakyat GPS kekal sokong PN

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 18 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil pendirian untuk terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen, bulan depan.

Katanya, GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap beliau pada sidang Parlimen sebagai satu tindakan berani dan bijak serta pendekatan terbaik berlandaskan perlembagaan.

“Selain itu GPS menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19 hanya akan menimbulkan kegelisahan rakyat.

“Keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara.

“Oleh demikian, kami berharap semua pihak menghentikan dahulu politiking dan semua ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu satu perjumpaan khas Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama ahli-ahli Parlimen GPS berlangsung di Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching, Sarawak.

Selain PBB, GPS juga disertai tiga parti iaitu Parti Rakyat Sarawak, Parti Demokratik Progresif dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak dengan mereka mempunyai 18 wakil di dalam Dewan Rakyat.

Mereka merupakan sebahagian pihak yang menyokong pembentukan Kerajaan PN.

GPS membentuk pakatan parti-parti di Sarawak selepas mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi membentuk gabungan baharu parti yang berasaskan geografi Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN