KUALA TERENGGANU: Remaja berusia 16 dan 17 tahun di negara ini akan menerima vaksinasi Covid-19 masing-masing selepas suntikan berkenaan selesai diberikan kepada golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.
“Khairy memberitahu saya apabila sudah habis semua sekali dewasa, giliran golongan remaja ini yang akan menerima vaksin.
“Bagi yang di bawah umur 16 tahun, perlu tunggu sedikit masa lagi yang sesuai,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi di Taman Taman Islam (TTI) di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE