Usah terburu-buru, ambil iktibar luar negara longgar penerima 2 dos - Utusan Malaysia

Usah terburu-buru, ambil iktibar luar negara longgar penerima 2 dos

HISHAMSHAH Mohd. Ibrahim ketika sidang akhbar khas Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berpendapat pemberian inisiatif ‘kebebasan’ untuk penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19 perlu dikaji dengan melihat contoh di luar negara.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim berkata, kelonggaran itu tidak wajar dibuat terburu-buru.

“Kita kena juga ambil iktibar pengalaman negara lain yang memang tinggi kadar vaksinasi dan beri pelepasan kepada penerima dua dos, kini kes baharu tiba-tiba boleh meningkat balik.

“Contohnya Britain, banyak negara Eropah sendiri selain Israel dan Amerika Syarikat, yang kemudian mereka berasa ralat terlalu awal buka aktiviti sosial dan ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar khas Kementerian Kesihatan di sini hari ini yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor sedia membuat pengumuman berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk penerima dua dos imunisasi setelah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum bakal dimuktamadkan termasuk antaranya kebenaran merentas negeri dan kegiatan sukan.

Hishamshah berkata, kebebasan tersebut wajar diberikan secara berperingkat dan bukan dibuat secara tergesa-gesa susulan kemunculan varian baharu lebih bahaya.

“Kena ada prasyarat tertentu seperti kadar vaksinasi sudah tinggi dengan paling bagus lebih 80 peratus telah dicapai supaya dapat kekang jangkitan dalam komuniti pula,” tegas beliau.

Begitu juga jelasnya, kadar pematuhan SOP adalah tinggi sebab varian terkini didapati lebih dahsyat mudah berjangkit terutama disiplin pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun beliau menyerahkan perkara itu kepada peringkat tertinggi untuk penilaian teliti.

Ditanya kenapa kes masih tinggi kebelakangan ini, beliau berkata, sebahagian besar pesakit baharu jika diteliti didapati tiada langsung ada sejarah pengambilan vaksin.

Berdasarkan rekod semalam untuk kategori 1 iaitu kes tiada gejala katanya, memperlihatkan 88 peratus tidak divaksin manakala kategori 2 dengan gejala ringan mencatatkan 65 peratus.

“Untuk kategori 3 hingga 5 pula, senario serupa turut direkodkan dan ia membuktikan mereka yang divaksin kurang risiko terdedah apatah lagi menjangkiti individu lain,” kata Hishamshah.

Sehubungan itu, beliau mengunjurkan trend kes baharu bakal berkurangan dalam masa dua minggu ke atas apabila semakin ramai penduduk telah menerima vaksin di seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN