Saman fitnah Mujahid terhadap Pas selesai secara baik

Saman fitnah Mujahid terhadap Pas selesai secara baik

MUJAHID YUSOF RAWA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun, kes saman fitnah yang difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa terhadap parti politik, Pas akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Pada 15 Disember 2022, Mujahid memfailkan saman terhadap Pas berkait satu hantaran di akaun Facebook parti itu yang mengaitkan bekas Naib Presiden Amanah dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pas yang dinamakan sebagai defendan disaman melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Roslan Mat Nor, peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Mujahid memaklumkan kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat dan bersetuju menamatkan pertikaian tersebut secara muktamad.

“Kami merujuk kepada surat bertarikh 26 Disember yang memaklumkan kedua-dua pihak telah bersetuju dengan terma-terma penyelesaian yang tidak didedahkan kepada umum.

“Oleh itu, pihak kami (Mujahid) bersetuju untuk menarik balik saman tanpa kebebasan memfailkan semula dan tanpa apa-apa perintah berhubung kos,” kata peguam itu.

Perkara itu turut disahkan oleh peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili parti itu.

Susulan itu, Hakim Roslan membatalkan saman berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak kerana bersedia menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.

“Mahkamah merakamkan penghargaan kepada pihak plaintif dan defendan atas kesediaan menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah, selain usaha peguam kedua-dua pihak dalam rundingan berkenaan. 

“Oleh itu, kes ini dibatalkan,” kata hakim tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes tersebut secara baik memandangkan terdapat lebih banyak isu-isu lain yang perlu diberi perhatian demi kepentingan negara.

“Takiyuddin selaku Setiausaha Agung Pas, tanpa apa-apa pengakuan terhadap sebarang liabiliti, secara terbuka dan dengan suci hati memohon maaf kepada Mujahid atas hantaran tersebut.

“Mujahid yang menghargai tindakan murni itu bersetuju menarik balik tindakan saman berkenaan. 

“Kedua-dua pihak berharap agar penyelesaian ini diterima dan dihormati semua pihak serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan negara,” kata kenyataan itu.

Menurut penyataan tuntutannya, Mujahid mendakwa Pas telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya apabila membuat atau menerbitkan kenyataan berbaur fitnah itu di ruangan status akaun Facebook parti itu.

Sehubungan itu, beliau memohon suatu perintah supaya Pas menarik balik serta memadam kenyataan fitnah dan gambar plaintif itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman selain memohon ganti rugi am, teladan dan teruk.

Menerusi pernyataan pembelaan, Pas mendakwa pernyataan tuntutan plaintif adalah cacat dan tidak sah kerana plaintif gagal menamakan pelaku kesalahan yang mempunyai kawalan serta melakukan penerbitan bagi artikel berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN