KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan mesyuarat dengan kesemua ahli Parlimen UMNO malam ini bagi membincangkan siapa calon Perdana Menteri yang akan diangkat bagi mewakili parti itu.
Mesyuarat tersebut turut membabitkan ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini mengambil pendirian bertentangan dengan parti, antaranya Ahli Parlimen Arau yang juga Presiden Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim.
Isu menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara agenda utama yang akan dibincang malam ini bagi mencapai kata putus supaya tidak ada calon lain yang dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara berkenaan.
“Ya, insya-Allah semua berjalan lancar. Kita akan bincangkan perkara itu malam ini,” katanya ringkas.
Terdahulu, Ahmad Zahid dan 14 orang Ahli Parlimen UMNO dikhabarkan menolak pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kerana membelakangi keputusan parti sewaktu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah Perikatan Nasional (PN).
Malah, jika Ismail Sabri dipilih sebagai Perdana Menteri baharu, ia mampu menggugat kedudukan Ahmad Zahid selaku Presiden parti sewaktu pemilihan UMNO nanti.
Bagaimanapun, terdapat nama lain yang turut disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.
Namun menurut sumber, jika UMNO menamakan calon selain daripada Ismail Sabri, rakan gabungan dalam PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan GPS tidak akan menyokong calon Perdana Menteri baharu UMNO tersebut.
Ia sekali gus meletakkan parti berkenaan mungkin berada di barisan pembangkang.
Sebelum mesyuarat bersama ahli Parlimen, difahamkan Ahmad Zahid akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dahulu yang juga akan membincangkan perkara berkenaan.
Perjumpaan malam ini adalah secara bersemuka di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL).










