UMNO Maran kecewa tindakan Ahli Parlimen Maran - Utusan Malaysia

UMNO Maran kecewa tindakan Ahli Parlimen Maran

SHAHANIZA SHAMSUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: UMNO Bahagian Maran kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Maran daripada parti berkenaan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib yang mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan.

Ketua UMNO Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kenyataan Ismail itu adalah secara jelas membelakangkan dan bercanggah dengan kehendak serta keputusan parti.

“UMNO Bahagian Maran menzahirkan dukacita dan kekecewaan dengan Ahli Parlimen Maran khusus berkait sokongannya terhadap Perdana Menteri yang secara tidak langsung membelakang dan bercanggah dengan kehendak serta keputusan parti.

“Kita mengingatkan semua ahli parti di semua peringkat untuk menghayati slogan Bersatu Bersetia Berkhidmat serta prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Usaha membantu rakyat juga mesti terus menjadi agenda utama untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook rasmi miliknya di sini hari ini.

Semalam, Ismail dalam kenyataannya menyatakan sokongan penuh kepada Muhyiddin sebagai ketua kerajaan.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, ia sebagaimana sokongannya sebelum ini kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana amanah kepada agama, bangsa dan negara.

Jelas Ahli Parlimen Maran itu, beliau juga menjunjung titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Shahaniza berkata, UMNO Bahagian Maran berdiri teguh di belakang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkaitan kemelut politik mutakhir ini.

Katanya, pihaknya akan terus bersama-sama dengan Wan Rosdy dan kerajaan Pahang untuk terus menumpukan agenda membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Kita mengambil pendirian bersama kepimpinan di setiap peringkat bahagian dan cawangan UMNO di Maran bahawa ketetapan yang telah dipersetujui dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

“Keputusan parti mesti dihormati oleh setiap pemimpin UMNO dalam mengambil hala tuju parti dan UMNO Maran ingin membuat penegasan bahawa aspirasi parti dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air selain mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan mestilah menjadi asas pedoman serta panduan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.