UMNO Kuala Kangsar ingatkan Mastura patuh keputusan MT - Utusan Malaysia

UMNO Kuala Kangsar ingatkan Mastura patuh keputusan MT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: UMNO Bahagian Kuala Kangsar mengingatkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd. Yazid agar mematuhi keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman berkata, ini kerana Majlis Tertinggi (MT) merupakan punca kuasa tertinggi parti selepas ketiadaan Perhimpunan Agung UMNO.

“Suka saya ingatkan kepada semua pihak khususnya Ahli Parlimen Kuala Kangsar agar mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO sebagai punca kuasa tertinggi parti dalam keadaan ketiadaan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini beberapa ahli Parlimen daripada UMNO telah menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin berikutan ketetapan yang dibuat oleh MT UMNO kelmarin.

Mastura yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) belum membuat sebarang kenyataan mengenai keputusan MT UMNO.

Maslin Sham berkata, UMNO bahagian itu memandang serius tindakan ahli Parlimen UMNO yang semakin berani dan secara terang-terangan menentang keputusan yang dibuat oleh parti.

Menurutnya, tindakan itu khususnya oleh mereka yang telah diangkat oleh parti dan mendapat kedudukan kerana dukungan yang diberikan oleh ahli-ahli akar umbi, amat mengecewakan.

Beliau berkata, adalah jelas kegagalan kerajaan dan kemuncaknya wujud konflik hubungan antara kerajaan dan Istana Negara apabila kerajaan disifatkan oleh Yang di-Pertuan Agong membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka.

“Menjadi asas UMNO menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan PN, tindakan ahli Parlimen UMNO yang tidak menghormati dan mematuhi keputusan parti amat dikesali,” katanya.

Menurutnya, UMNO bahagian itu akan berdiri teguh mempertahankan parti dengan menyokong keputusan yang telah dibuat MT UMNO kerana ia merupakan terjemahan hasrat ahli akar umbi.

“Ahli akar umbi tidak boleh menerima mainan politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memporak-perandakan keutuhan UMNO,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya