UMNO harus tampil wajah baru - Utusan Malaysia

UMNO harus tampil wajah baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) harus menampilkan lebih banyak wajah baru yang diyakini kewibawaan mereka dalam menggalas tugas sebagai pemimpin baru untuk rakyat Malaysia.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin memuji keputusan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengumumkan persaraan dalam politik beliau.

“Terima kasih ‘chief’ dan kini tiba masanya kepimpinan tertinggi UMNO untuk memberikan ruang kepada muka-muka baru dan juga calon muda agar dapat diketengahkan semasa PRU-15 nanti.

“Muka-muka baru bagi saya bukan hanya usia muda sahaja, ada calon yang usia antara 55 tahun – 65 tahun maksimum yang ada kewibawaan juga perlu ada dalam kepimpinan akan datang untuk satu penggal.

Muqharabbin dalam kenyataan itu berkata, kemunculan wajah baru penting bagi memimpin calon-calon muda dalam kalangan pemuda, puteri, wanita dan ahli UMNO yang dirasakan layak untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti itu.

Terdahulu, Mohamed Nazri mengumumkan akan bersara dari politik setelah enam penggal menjadi Ahli Parlimen, dan tidak akan bertanding dalam PRU-15.

Mohamed Nazri yakin sekarang adalah waktu yang tepat untuknya bersara kerana generasi pemimpin UMNO seterusnya seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semakin mengukir nama dalam parti dan negara.

Menurut Muqharabbin, PRU-15 adalah ibu kepada segala kestabilan politik negara dan rakyat juga perlu sepakat memilih satu sahaja parti dan komponen yang benar-benar boleh membawa suara dan membantu rakyat, mengembalikan ekonomi negara pada landasan yang baik, menjamin kesihatan rakyat agar segala usaha yang dilakukan dalam menangani pandemik Covid-19 berjaya.

Walaupun begitu, Muqharabbin tidak mahu bertanding untuk PRU-15 namun ingin membantu Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Haji Askolani agar diberikan ruang untuk bertanding terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu ada lagi ahli-ahli Parlimen yang tidak bermaruah dan melompat parti sehingga merosakkan kestabilan politik yang boleh menjahanamkan negara dan rakyat.

“Saya serahkan kepada UMNO Bahagian dan UMNO Pusat untuk memilih siapa yang lebih sesuai bertanding di sini. Yang penting, bukan calon lompat. Kita mahu anak tempatan yang tahu selok-belok kawasan, dikenali dan mudah didekati orang kampung dan juga boleh pantas berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN