JOHOR BAHRU: UMNO perlu berpendirian tegas terhadap barisan menteri daripada parti itu dengan tidak memberikan peluang pada pilihan raya akan datang sekiranya mereka tidak mempamerkan prestasi baik.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga perlu bertegas terhadap kesemua menteri yang dipilihnya untuk memastikan mereka dapat membantu kerajaan mencapai sasaran yang ditetapkan dalam tempoh 100 hari.
Jelas beliau, sekiranya barisan menteri daripada UMNO gagal dalam prestasi mereka, parti perlu meletakkan pasukan baharu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Jika kepimpinan UMNO ini gagal melaksanakan tugas mereka dalam kerajaan semasa, pada pandangan saya mereka tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada kerajaan pada masa depan.
“Apabila kita lihat pengumuman Perdana Menteri bahawa objektif beliau dalam 100 hari pertama pentadbiran adalah pemulihan sektor kesihatan dan ekonomi, namun apabila dilihat Kabinetnya, tiada perubahan ketara dapat dilihat.
“Perkara yang berubah hanyalah portfolio yang dipegang mereka di mana individu yang menguruskan vaksin kini menjaga kesihatan, manakala yang menjaga kesihatan kini menjaga vaksin.
“Sementara itu, tiada perubahan dalam barisan individu yang bertanggungjawab kepada sektor ekonomi negara,” katanya selepas menghadiri program penyerahan 100 bakul makanan dan Jalur Gemilang kepada pemandu teksi, di sini hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, Ismail Sabri perlu memastikan beliau tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan penyandang sebelum dirinya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, ketika ini Ismail Sabri telah mencatat imej positif apabila berjaya mencapai kata sepakat dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa aspek termasuk pentadbiran kerajaan dan kepentingan kebebasan badan kehakiman.
“(Tetapi) jika ada menteri yang menyalahi undang-undang berkenaan prosedur operasi standard (SOP), maka ambil tindakan tegas dengan segera.
“Beliau (Ismail Sabri) juga perlu memastikan tidak berlaku pertindihan tugas sesama menteri kerana permasalahannya yang timbul akibat pandemik Covid-19 sudah berlarutan terlalu lama,” katanya.










