IPOH: Kerajaan Perak harus melakukan strategi baharu tadbir urus, pembangunan dan cara meningkatkan hasil negeri yang merosot akibat pandemik Covid-19, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, antara strategi yang boleh dilakukan ialah menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri yang melaporkan secara langsung kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
“Seperti yang dititahkan oleh Tuanku, negeri Perak mencatatkan penguncupan ekonomi sebanyak 2.5 peratus dan berlaku penurunan hasil negeri yang ketara khususnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ada PBT yang dilaporkan mencatatkan kehilangan hasil sehingga 58 peratus,” katanya ketika perbahasan titah perasmian Sidang DUN oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.
Menurut Zambry, Majlis Pemulihan Negeri itu seperti yang akan dilakukan di peringkat Pusat, harus dianggotai oleh pemegang taruh serta tokoh dihormati, berkelayakan serta wakil kerajaan dan pembangkang.
Beliau menyarankan majlis itu bertindak menyusun perancangan yang jelas dan strategik untuk memastikan pendapatan kerajaan negeri dapat dipulihkan.
“Sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif seperti pembuatan dan pertanian mesti diurus dengan cara berbeza berbanding sektor-sektor lain yang terkesan teruk. Pendekatan pukul rata adalah tidak bersesuaian,” ujarnya.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar meminta kerajaan negeri menyenaraikan 10 sektor dan ‘enjin’ utama ekonomi negeri dan memperkenal strategi atau sasaran khas bagi setiap satunya.
Kerajaan Perak juga, katanya, harus menyemak dan menyusun kembali keutamaan atau fokus pembangunan yang bersesuaian untuk dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) nanti.
Zambry juga meminta kerajaan negeri mempertimbangkan satu program intervensi pemulihan pendidikan di peringkat negeri untuk memastikan generasi pelajar era pandemik ini tidak ketinggalan jauh berikutan penutupan sekolah dan institusi pendidikan yang agak panjang.
“Kerajaan negeri mesti berunding secara serius dengan pelbagai penyedia perkhidmatan internet dan telekomunikasi untuk memastikan sistem pembelajaran atas talian tidak menjadi masalah dan penghalang kepada mana-mana kampung atau tempat,” katanya.
Jelasnya, generasi pelajar hari ini adalah golongan ‘the lost generation’ kerana mereka kehilangan peluang pendidikan dan pengalaman persekolahan yang sangat bernilai. – UTUSAN










