Harga kondom dijangka naik 30 peratus kesan perang Iran

Harga kondom dijangka naik 30 peratus kesan perang Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengeluar kondom terbesar dunia, Karex Bhd, merancang untuk menaikkan harga produknya antara 20 peratus hingga 30 peratus, malah tidak menolak kemungkinan kenaikan lebih tinggi jika gangguan rantaian bekalan akibat perang di Iran terus berlarutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Karex, Goh Miah Kiat berkata, syarikat itu kini berdepan lonjakan permintaan ketika kos pengangkutan yang tinggi dan kelewatan penghantaran menyebabkan stok simpanan pelanggan merosot berbanding biasa.

“Situasi sekarang sangat rapuh dan kos adalah mahal. Kami tidak mempunyai pilihan selain memindahkan kos tersebut kepada pelanggan buat masa ini,” kata Goh dalam satu temu bual bersama Reuters.

Karex menghasilkan lebih lima bilion kondom setiap tahun dan merupakan pembekal utama kepada jenama terkemuka seperti Durex dan Trojan, selain membekalkannya kepada sistem kesihatan kebangsaan seperti NHS di United Kingdom (UK) serta program bantuan global di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Syarikat tersebut kini menyertai senarai panjang firma global, termasuk pengeluar sarung tangan perubatan yang terpaksa bersedia menghadapi kekangan rantaian bekalan.

Perang Iran dilaporkan telah menjejaskan aliran tenaga dan petrokimia dari Asia Barat, sekali gus mengganggu perolehan bahan mentah.

Menurut Goh, sejak konflik bermula pada penghujung Februari, Karex telah melihat peningkatan kos bagi hampir semua bahan termasuk getah sintetik dan nitril untuk pembuatan, selain bahan pembungkusan dan pelincir seperti kerajang aluminium serta minyak silikon.

Beliau menjelaskan Karex masih mempunyai bekalan mencukupi untuk beberapa bulan akan datang dan sedang berusaha meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang meningkat sebanyak 30 peratus tahun ini.

Kekurangan bekalan global menjadi semakin meruncing selepas pemotongan besar-besaran dalam perbelanjaan bantuan asing, terutamanya oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) pada tahun lalu.

Masalah ini diburukkan lagi dengan gangguan perkapalan di mana penghantaran Karex ke destinasi seperti Eropah dan Amerika Syarikat (AS) kini mengambil masa hampir dua bulan, berbanding hanya sebulan sebelum ini.

“Kami melihat banyak bekalan kondom sebenarnya terkandas di dalam kapal yang belum sampai ke destinasi walaupun sangat diperlukan.

“Banyak negara membangun kini tidak mempunyai stok yang mencukupi kerana masa yang lama diambil untuk produk tersebut sampai kepada mereka,” tambah Goh. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN