KOTA KINABALU: Bekas Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak, Joseph Bingkasan meninggal dunia akibat kanser di Hospital Queen Elizabeth II di sini, pada pukul 3.56 pagi semalam.
Anaknya, Lester J. Bingkasan mengesahkan kematian wartawan veteran berusia 71 tahun itu.
“Bapa saya meninggal dunia pagi tadi (semalam). Beliau mengalami radang paru-paru (pneumonia) dengan penyakit kanser prostat metastatik,” katanya.
Lester berkata, sebelum ini bapanya melakukan hemodialisis tiga kali seminggu.
“Saya mohon semua sahabat mendoakan ayah saya,” katanya.
Joseph ialah penerima Tabung Kasih Hawana pada 2023 dan disahkan menghidap kanser sejak 2014, selain berdepan masalah kegagalan buah pinggang dan darah tinggi.
Joseph berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan bermula sebagai penyunting akhbar Kinabalu Sabah Times pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai koresponden di Sabah.
Mendiang pernah bertugas di Times of Malaysia London Ltd. iaitu Pejabat NST di London sebelum dilantik sebagai Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak, selain pernah berkhidmat untuk akhbar tempatan Sabah, Daily Express.
Sehingga akhir hayatnya, beliau aktif dalam dunia kewartawanan dengan mengendalikan portal berita Talantang.Com. – UTUSAN










