YAN: Mangsa terakhir yang hilang dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai ditemukan mati tersangkut di bawah timbunan kayu di belakang sebuah chalet di Titi Hayun di sini hari ini.
Mangsa, Ridwan Poniman, 61, ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 12.30 tengah hari ini dan dibawa keluar kira-kira sejam kemudian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 400 meter dari lokasi Pusat Kawalan Bencana (PKB) Titi Hayun.
“Mayat mangsa ditemukan di sebelah kanan aliran sungai yang kira-kira 100 meter dalam di lokasi penemuan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Daerah Yan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sebanyak lima mayat mangsa yang hilang dalam tragedi itu ditemukan di lokasi yang berasingan sejak hari kejadian.










