PETALING JAYA: Rakyat bakal melihat tragedi ‘katak melompat’ dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Demikian reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri akan ditentukan menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat September depan.
Ahmad Zahid secara sinis berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi mencari habuan atau mahu menyelamatkan diri.
“Kena tahu sifat ‘katak’ bukan saja-saja melompat. Sama ada cari habuan atau mahu menyelamatkan diri sama seperti tragedi hitam yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
“Sebab itu kita minta usul undi percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat disegerakan. Sebelum ada lagi yang terperangkap, terpedaya atau terpesona sanggup menjadi ‘katak’,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, rakyat kini sedang menilai jika ada wakil rakyat yang menjadi sanggup melompat parti dan menjadi ‘katak’ seterusnya.
“Rakyat tahu apa perlu dilakukan ke atas ‘katak-katak’ ini apabila tiba masa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” jelasnya.











