Tindakan pihak gugat kestabilan politik dikesali - PN Johor

Tindakan pihak gugat kestabilan politik dikesali – PN Johor

SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan segelintir pihak yang meletakkan negara dalam krisis politik selain mengganggu gugat kestabilan pentadbiran kerajaan ketika ini adalah amat dikesali.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, hal itu kerana tumpuan ketika ini adalah untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, disebabkan perkara itu, penting bagi setiap parti untuk bersikap rasional dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding agenda politik kepartian.

“Kerajaan pada masa kini sentiasa berusaha keras malah memberikan komitmen yang tinggi untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada pandemik Covid-19.

“Menjadi kewajaran bagi semua pihak untuk memberi sokongan kepada kerajaan sekali gus menghentikan polemik politik serta perebutan kuasa dan jawatan. 

“Sebaik sahaja situasi mulai reda dan Pelan Pemulihan Negara menunjukkan kejayaan menyeluruh, mandat akan dikembalikan kepada rakyat disusuli dengan pilihan raya umum seperti yang dimahukan pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sejak beberapa hari ini, kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi persoalan apabila beliau dilaporkan telah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk terus kekal menjawat jawatan nombor satu negara itu.

Tambah Dr. Sahruddin lagi, desakan pihak tertentu agar Perdana Menteri meletak jawatan pada kadar segera ketika negara sedang diuji dengan pandemik Covid-19 bukanlah satu penyelesaian. 

“Kerajaan perlu terus berfungsi seterusnya memacu setiap tindakan yang direncanakan menuju hala tuju yang telah ditetapkan. Inilah yang terbaik untuk rakyat dan negara pada ketika ini.

“Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan, Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri sebaik mungkin menguruskan pandemik ini dengan sebaik-baiknya tanpa putus asa.

“Diasak dari semua sudut, tetapi kerajaan tidak mengalah dengan segala konflik dan krisis yang dihadapi sebaliknya kekal tenang serta hadir dengan pelbagai perancangan intervensi dan pelan pemulihan. 

“Kini, lebih 17 juta rakyat di Malaysia yang berdaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah menerima dos pertama malah lebih 40 peratus populasi dewasa telah mendapatkan dos lengkap,” ujarnya.

Bekas Menteri Besar Johor itu turut berkata, hasil perancangan rapi kerajaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan, strategi membawa negara keluar dari pandemik Covid-19 sudah menunjukkan kejayaannya.

“Sebagai contoh di Lembah Klang, kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan bilangan kes kategori 3 hingga 5 telah menunjukkan penurunan, bahkan situasi di Jabatan Kecemasan turut bertambah baik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN