KUANTAN: Tindakan seorang warga emas menggunakan sijil kelahiran milik individu lain ketika membuat permohonan kad pengenalan untuk seorang kanak-kanak, memakan diri apabila dia didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Abdah Said, 65, mengaku bersalah atas kesalahan itu yang dilakukan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang kira-kira pukul 9.49 pagi, pada 28 September 2012.
Mengikut pertuduhan, Abdah memberikan maklumat palsu ketika memohon kad pengenalan 12 tahun untuk seorang kanak-kanak dengan menggunakan sijil lahir atas nama Nor Zimah.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Abdah memohon hukuman ringan atas alasan sudah berusia serta tidak bekerja.
Namun, Pegawai Pendakwa JPN, Mohammad Yusaini Yunan, memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kesalahan itu bersifat serius dan melibatkan dokumen rasmi negara. – UTUSAN








