DUNGUN: Belum pun 48 jam Pasar Besar Dungun di sini kembali dibenarkan beroperasi, tiga peniaga di premis berkenaan dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kesemua mereka dikompaun RM1,500 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Katanya, sebelum ini pasar berkenaan diarahkan tutup selama dua minggu susulan kes Covid-19 hingga mewujudkan kluster.
“Kita kesal dengan sikap segelintir peniaga yang masih tidak mematuhi SOP dan berharap semua pihak termasuk pelanggan lebih berwaspada agar jangkitan Covid-19 tidak kembali menular di pasar ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di persimpangan Che Lijah di sini hari ini.
Baharudin berkata, sebanyak sembilan kenderaan turut kompaun RM2,000 kerana lebih penumpang di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Sura dan Kuala Dungun.
Sementara itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan agar tidak menggunakan laluan utama di bandar Dungun bagi mengelak kesesakan di sekatan jalan raya (SJR) Che Lijah.
Katanya, selain SJR itu, tiga lagi SJR turut diadakan iaitu di Kampung Durian Mentangau, Kampung Nibong dan Seberang Pintasan.










