JOHOR BAHRU: Pelantikan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap dapat menamatkan kemelut politik tanah air yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pihaknya juga berharap kepemimpinan baharu negara akan memberi tumpuan penuh kepada kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, hal itu kerana ketika ini rakyat terus ditekan dalam pelbagai aspek kehidupan akibat pandemik Covid-19.
“Tibalah masa fokus pada gerak kerja dan urus tadbir dalam mendepani pandemik Covid-19 serta kebajikan rakyat yang semakin mendesak dan terkesan dalam tempoh Pelan Pemulihan Nasional (PPN) ketika ini.
“Diharapkan barisan Jemaah Menteri baharu yang akan dilantik akan terus istiqamah dalam menjalankan tugas dan memainkan peranan berkesan memastikan rakyat dari segenap lapisan ekonomi tidak terpinggir dan mendapat bantuan yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hari ini, Ismail Sabri telah menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Sementara itu, Mohd. Hairi turut memberitahu pihaknya berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang mengekal prinsip diperjuangkan mereka selama ini.
“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor juga berterima kasih kepada pucuk pimpinan yang terus kekal dengan Prinsip ‘No DAP, No Anwar’.
“Ini dilihat sebagai satu keputusan yang tepat dan bermaruah. Diharapkan semua barisan kepimpinan dan akar umbi UMNO untuk meneruskan gerak kerja dan merencana program tanpa perlu lagi toleh ke belakang. Ini masa untuk kita bekerja,” gesanya. – UTUSAN










