BESUT: Terengganu bersedia membuka operasi pulau-pulau peranginan pada bulan depan bagi membantu industri pelancongan domestik dan perhotelan agar kembali bernafas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kesediaan itu selaras dengan sasaran untuk mencapai 100 peratus imuniti berkelompok dalam kalangan penggiat pelancongan di Pulau Kapas, Redang, Perhentian dan Tenggol pada awal September.
Di samping itu, katanya, jangkaan Terengganu mampu beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada akhir bulan ini turut menambahkan lagi kesiapsiagaan.
“Pembukaan semula sektor pelancongan dengan selamat ini selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan Terengganu 2021 dalam usaha menjadi negeri yang selamat dikunjungi dan diyakini pelancong.
“Kita berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dapat membenarkan sektor pelancongan di pulau-pulau peranginan dibuka semula bulan depan dan membenarkan aktiviti rentas daerah,” katanya selepas melawat program outreach vaksinasi Covid-19 di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian di sini hari ini.
Dalam program selama tiga hari bermula semalam, seramai 979 penduduk dan penggiat pelancongan di Pulau Perhentian menerima dos pertama vaksin Covid-19.
Sementara itu, Ariffin berkata, Terengganu akan terus dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan rendah risiko Covid-19 bagi memberi keyakinan kepada pelancong. – UTUSAN