Tekad perkasa masyarakat luar bandar - Mahdzir Khalid  - Utusan Malaysia

Tekad perkasa masyarakat luar bandar – Mahdzir Khalid 

MAHDZIR Khalid mengimbas kad penanda waktu di Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memulakan tugas hari pertamanya. - IHSAN KPLB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan pelantikan beliau sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul demi memastikan kelancaran pentadbiran negara dan  kemajuan luar bandar serta masyarakatnya.

Beliau beriltizam melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu dengan penuh keikhlasan, jujur dan berintegriti demi memastikan negara terus bergerak maju terutama dalam usaha menangani pandemik Covid-19 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Insya-Allah dengan pengalaman sepanjang karier politik saya akan dijadikan sebagai bekalan bagi memastikan  pemerkasaan masyarakat luar bandar sebagai salah satu agenda utama yang akan diterapkan di KPLB.

“Saya turut memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga segalanya dipermudahkan dan negara berjaya bangkit dan pulih daripada krisis kesihatan serta ekonomi yang sedang dihadapi sekarang dalam tempoh masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahdzir tiba di bangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada pukul 5.45 petang tadi untuk mengimbas kad penanda waktu bagi memulakan tugas hari pertamanya.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri II, Datuk Hasbi Habibollah serta Ketua Setiausaha, Datuk Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus sebelum dibawa naik ke pejabat masing-masing.

Sementara itu, kementerian itu dalam kenyataan berasingan berharap pelantikan menteri, timbalan menteri I dan timbalan menteri II akan menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar yang sejahtera, inklusif, mampan dan holistik dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 serta memastikan PPN dan gagasan Keluarga Malaysia dapat dijayakan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN