Takut tindakan mahkamah, pekebun durian rugi RM20,000 ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Takut tindakan mahkamah, pekebun durian rugi RM20,000 ditipu Macau Scam

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gara-gara takut dikenakan tindakan mahkamah atas dakwaan mempunyai cukai tertunggak, seorang pekebun durian rugi RM20,000 akibat ditipu sindikit Macau Scam, kelmarin.

Mangsa berusia 28 tahun dari Raub itu dipercayai diperdaya oleh suspek yang menyamar sebagai pegawai polis sehingga mendorongnya memasukkan wang yang mengakibatkannya mengalami kerugian.

 Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada 18 Ogos lalu sekitar pukul 1 petang ketika mangsa berada di kebun durian di Sungai Klau, Raub.

“Mangsa menerima satu panggilan telefon daripada Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Alor Star, Kedah memberitahu namanya didaftarkan di atas sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM17,000.

“Kemudiannya panggilan mangsa disambungkan ke talian telefon Ibu pejabat Polis (IPD) Alor Setar dan telah bercakap dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis. 

“Mangsa diberikan pilihan untuk membuat pembayaran tersebut sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, sekitar pukul 3.30 petang kelmarin, mangsa membuat pemindahan wang kerana tidak mahu dikaitkan dengan kes mahkamah.

“Mangsa melakukan pindahan wang secara dalam talian sebanyak RM20,000 daripada akaun bank peribadinya ke dalam akaun Maybank di atas nama Mohd. Aminuddin.

“Setelah mangsa selesai membuat transaksi tersebut talian telefon segera ditamatkan oleh ‘pegawai polis’ itu. Semalam, mangsa segera ke Pejabat LHDN Cawangan Raub untuk membuat semakan dan mendapati namanya tiada rekod cukai tertunggak,” katanya.

Sementara itu, katanya, mangsa yang berasa ditipu kemudian ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN