Akta Pekerja Gig: Kementerian nafi tiada libat urus

Akta Pekerja Gig: Kementerian nafi tiada libat urus

RAMANAN Ramakrishnan hadir pada Majlis Penyerahan Watikah dan Sijil Pelantikan Anggota Tribunal Pekerja GIG (TPG) dan Anggota Majlis Perundingan GIG (MPGig) di Hotel Wyndham Grand Bangsar di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menafikan dakwaan tidak mengadakan sesi libat urus berkaitan Akta Pekerja Gig 2025 seperti didakwa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Isnin lalu.

Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kementerian telah melaksanakan pelbagai sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk MTUC sepanjang proses penggubalan akta berkenaan.

Katanya, sesi libat urus tersebut berlangsung hampir setahun bermula 24 Oktober 2024 hingga Ogos 2025 dan melibatkan kira-kira 400 pertemuan dengan pelbagai pihak dalam industri.

“Pertama sekali, kita sudah ada banyak sesi libat urus. Ada yang kita jemput MTUC dan mereka pun turut hadir. Tapi saya tidak faham kenapa berungkit balik. Berulang kali saya sudah jawab.

“Jadi daripada segi sesi libat urus, kita telah mengadakan hampir 400 sesi. Kalau saya boleh tambah, sejak 24 Oktober hingga Ogos 2025, kira-kira proses selama setahun.

“Dan saya boleh sahkan Presiden MTUC pada waktu itu juga hadir memberi sokongan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat semasa perbahasan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah dan Sijil Pelantikan Anggota TPG dan Anggota MPGig di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, media melaporkan gabungan 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili pekerja dan pengguna menggesa agar Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig ditangguhkan sehingga satu kajian menyeluruh dimuktamadkan.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan pelaksanaan RUU itu kerana didakwa tiada libat urus mencukupi antara kerajaan dan MTUC.

Sementara itu, tambah Ramanan, pihak kementerian bagaimanapun tidak mahu memanjangkan polemik berhubung perkara tersebut dan menyerahkan kepada MTUC untuk menyelesaikan sebarang isu dalaman mereka.

“Saya tidak mahu gaduh dengan MTUC. Mereka ada pendirian mereka, mereka ada penubuhan mereka. Mereka adalah kesatuan, biar mereka selesaikan masalah mereka.
Tapi sesi libat urus, saya ingat dah berapa banyak dibuat.

“Ia agak lucu kerana hanya MTUC yang mengatakan tiada sesi libat urus atau ada segelintir daripada mereka mengatakan tiada sesi libat urus.

“Kalau tiada sesi libat urus, tidak akan pemilik platform, artis-artis, pelakon-pelakon, persatuan semua ada hari ini. Mereka tidak mungkin boleh muncul begitu sahaja jika kita tidak mengadakan sesi libat urus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN