Takur Covid, operator kedai makan Kuantan belum sedia laksana 'dine in'

Operator kedai makan Kuantan belum sedia laksana ‘dine in’, bimbang kes Covid-19 masih tinggi

PENGUSAHA kedai makan di Kuantan, Pahang lebih menggalakkan pelanggan membeli secara bungkus ataupun pesanan menerusi servis penghantaran makanan seperti FoodPanda dan GrabFood.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengusaha kedai makan di daerah ini belum bersedia membenarkan pelanggan yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 ‘dine in’ ataupun makan di restoran mereka memandangkan angka kes positif pandemik itu di sini masih tinggi.

Rata-rata pengusaha enggan mengambil risiko kerana bimbang berlaku penularan di restoran mereka.

Wakil operator restoran di daerah ini, Datuk Azman Abdul Razak berkata, dengan jumlah pelanggan yang agak ramai, para pengusaha bimbang tidak dapat mengawal dan memastikan setiap pelanggan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Selain itu katanya, mereka juga bimbang kerana masih ada pekerja yang tidak lengkap dos kedua vaksin.

“Walaupun kerajaan telah membenarkan ‘dine in’, tetapi pengusaha restoran di daerah ini belum yakin untuk benarkan pelanggan makan di dalam kedai. 

“Kami (operator makanan Kuantan) berpendapat, buat masa ini biarlah pelanggan membeli secara bungkus ataupun pesanan menerusi servis penghantaran makanan seperti menggunakan foodpanda dan GrabFood,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahad lalu, kerajaan mengumumkan kelonggaran SOP dengan membenarkan individu yang sudah lengkap divaksin untuk ‘dine-in’ di restoran bermula Selasa lalu. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan berkata, kebenaran itu hanya untuk mereka yang menetap di negeri yang sudah berada di bawah fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya.

Azman yang juga Pengarah Urusan Rangkaian Restoran Nasi Kukus My Mama berkata, apabila situasi Covid-19 di daerah ini semakin pulih dan semua pekerja lengkap dengan dos kedua vaksin, barulah pelanggan dibenarkan makan dalam kedai. 

“Di Rangkaian Restoran Nasi Kukus My Mama, kami masih beroperasi secara bawa balik makanan atau take away dan penghantaran sahaja. 

“Buat masa ini tidak dibenarkan ‘dine in’ di Restoran Nasi Kukus My Mama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN