‘Tak sangka banjir teruk’ - Utusan Malaysia

‘Tak sangka banjir teruk’

MOHAMMAD Nasir Ismail membersihkan reban ayam dengan cara menabur kapur bagi meneutralkan semula reban daripada penyakit hama selepas banjir di Bagan Serai. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Banjir sejak lebih seminggu lalu di Mukim Beriah, Alor Pongsu dekat sini meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu yang berpunca daripada ban rancangan tebatan banjir (RTB) yang pecah.

Setelah banjir semakin surut, penduduk mula membersihkan rumah masing-masing daripada lumpur serta kotoran lain yang dibawa banjir.

Selain kerosakan harta benda, ramai penduduk mengeluh kerana terpaksa berdepan kemusnahan aktiviti ekonomi yang mereka usahakan.

Penternak ayam di Kampung Tersusun Batu 6 1/2, Matang Pasir Alor Pongsu dekat sini, Mohammad Nasir Ismail, 41, berkata, dia rugi hampir RM1,500 apabila 24 ekor ayam penelur dari spesies ayam Arab mati akibat ditenggelami air.

Menurutnya, dia percaya ada haiwan ternakannya itu dibaham ular sawa.

“Sebelum ini, selepas mendapat tahu kawasan ini mungkin dilanda banjir berikutan berlaku kejadian ban RTB pecah, saya meninggikan binaan reban ayam.

“Namun saya tidak menyangka dalam tempoh hanya beberapa jam sahaja, banjir naik mendadak sehingga menenggelami beberapa buah reban.

“Dianggarkan 24 ekor ayam Arab termasuk ayam baka mati akibat ditenggelami air manakala beberapa ekor lagi ayam di luar reban mati akibat dimakan ular,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, dengan dibantu sukarelawan Yayasan Setia Negara dan Sukarelawan Pemuda Negara, penduduk giat membersihkan rumah dan kawasan sekitar kediaman mereka.

Seorang penduduk, Zulkeflee Ismail, 42, berkata, dia bersama lapan ahli keluarganya ber­syukur apabila dibantu sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ternyata dapat mempercepatkan kerja-kerja pembersihan itu.

Katanya, penduduk tidak menyangka kawasan mereka dilanda banjir begitu teruk.

“Kami ingatkan banjir yang berlaku pada 2003 tidak lagi berulang selepas kerajaan membina ban RTB di sini. Banjir menyebabkan air naik mendadak sehingga 0.6 meter dan kami hanya sempat menyelamatkan barangan elektrik dan beberapa barang penting ke tempat tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN