KUALA LUMPUR: Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) mengumumkan peletakan jawatan Pengerusinya, Tun Musa Hitam berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi WIEF, Faizah Jaafar berkata, keputusan persaraan itu bagi membolehkan legasi kecemerlangan WIEF diteruskan oleh Pengerusi baharu, sementara Tun Musa Hitam akan kekal sebagai Panel Penasihat Antarabangsa WIEF (IAP).
Katanya, jawatan Pengerusi akan digalas bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar, namun tarikh pelantikan rasmi masih belum diputuskan.
“WIEF mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tun Musa di atas baktinya memperkasa forum ini sehingga gah di persada dunia.
“Semangat dan dedikasi beliau selama 15 tahun dalam organisasi ini berjaya meletakkan WIEF sebagai platform yang menyatukan pemegang taruh dari pelbagai industri seluruh dunia.
“Usaha dan tekad beliau menyaksikan WIEF berjaya menganjurkan 13 forum tahunan di ibu kota dunia termasuk London, Dubai, Astana, Jakarta, Islamabad, Kuwait dan Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia, kelmarin.
Menjelaskan lanjut, Faizah berkata, WIEF kekal komited menjalankan usaha memperkasa gerak kerja, meskipun dalam musim pandemik dan ketidaktentuan politik tempatan serta global.
“Walaupun dalam keadaan wabak serta ketidaktentuan iklim politik tempatan dan global, usaha WIEF menyatukan komuniti antarabangsa tetap berjalan seperti biasa.
“Usaha itu diperkasa melalui pelantikan Syed Hamid sebagai Pengerusi baharu, serta Setiausaha Agung, Tan Sri Mohd. Radzi Abdul Rahman yang menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
“Melalui pelantikan tokoh-tokoh ini sebagai teraju baharu, WIEF optimis gerak kerja organisasi akan berdaya maju pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN