Dalam dunia serba moden yang dikelilingi teknologi serba canggih, Orang Asli Bateq di pedalaman Taman Negara Pahang tetap teguh mempertahankan warisan nenek moyang mereka.
Antara amalan tradisional yang masih kekal hingga ke hari ini ialah menyalakan api dengan menggunakan kayu meranti dan rotan tanpa bantuan mancis atau pemetik api.
Ia bukan sekadar kemahiran turun-temurun, malah menjadi lambang jati diri dan kecekalan hidup mereka yang bergantung kepada alam semula jadi.
Seorang penduduk Kampung Dedari di Kuala Tahan, Ismail Bumban, 43, berkata, kaedah itu lebih mudah dan pantas terutama ketika masuk ke hutan mencari sumber makanan.
“Kalau masuk hutan, kami tak bawa mancis, cuma ambil kayu meranti dan rotan, kemudian geselkan sahaja sampai keluar bara.
“Selepas itu, kena tiup sedikit dan api pun menyala,” katanya yang aktif membuat demonstrasi cara menghidupkan api secara tradisional kepada pelancong antarabangsa di Taman Negara.
Ujarnya, teknik itu dipelajarinya daripada orang tua sejak kecil lagi dan diturunkan pula kepada generasi anak-anak.
Walaupun nampak mudah, tetapi katanya, proses menghidupkan api secara tradisional kaum itu memerlukan kemahiran tertentu.
Malah, bukan semua orang boleh melakukannya jika tidak kena gaya.
“Dalam masa singkat kami sudah boleh menghidupkan api dengan cara ini, tetapi tidak bagi pengunjung atau orang luar yang pertama kali mencubanya,” katanya.
Kata Ismail, kehadiran ramai pengunjung ke perkampungannya yang terletak di pesisir Sungai Tembeling itu menyebabkan rata-rata penduduk tidak menang tangan membuat demonstrasi tersebut.
Selain untuk memasak dan menghangatkan badan, api juga penting sebagai perlindungan daripada haiwan buas ketika di hutan.
“Biasanya, saya sediakan peralatan terlebih dahulu dan bila pengunjung singgah, saya boleh terus tunjukkan satu demi satu prosesnya,” katanya

Teknik sumpit
Pelancong juga berpeluang melihat aktiviti menyumpit, yang merupakan senjata perburuan ketika survival di hutan.
“Suku Bateq boleh ‘menembak’ sasaran dengan tepat dan banyak hasil perburuan bergantung kepada kepakaran menggunakan sumpitan buluh.
“Kepakaran menyumpit itu juga membolehkan seorang lelaki disegani dalam masyarakat dan menjadi igauan wanita sebagai suami,” katanya yang pernah bertugas sebagai porter bagi pelancong di Taman Negara.
Katanya, menerusi aktiviti demonstrasi yang dilakukan itu secara tidak langsung dapat menjana pendapatan sampingan untuk keluarga.
Dalam masa sama, dia berbangga dapat mempromosikan cara hidup dan kesenian Orang Asli Bateq kepada orang luar.








