Tiada perancangan wujud dana khas input pertanian

Tiada perancangan wujud dana khas input pertanian

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setakat ini tiada perancangan untuk menyediakan dana khas bagi mengurangkan kos pengeluaran input pertanian seperti baja memandangkan kenaikan harga adalah disebabkan faktor luaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebanyakan bahan mentah bagi menghasilkan input pertanian adalah daripada sumber import dan situasi itu menyebabkan produk dan input pertanian terdedah kepada turun naik harga global serta kadar pertukaran mata wang asing.

“Kementerian cakna mengenai kenaikan harga input pertanian seperti baja, racun perosak dan benih secara ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Untuk makluman ahli yang berhormat, kebanyakan bahan mentah bagi menghasilkan input pertanian adalah daripada sumber import.

“Situasi ini menyebabkan produk dan input pertanian terdedah kepada turun naik harga global dan kadar pertukaran mata wang asing. Keadaan ini menyebabkan kos pengeluaran pertanian meningkat dan menjejaskan pendapatan pesawah,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman web Parlimen, semalam.

Mohamad berkata, antara usaha yang dilakukan adalah dengan menyemak semula kadar harga input pertanian dalam kontrak pembekalan di bawah Program Subsidi Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB).

“Kerajaan telah menaikkan kadar bantuan subsidi kepada pesawah sehingga 25 peratus iaitu daripada RM2,552.20 per hektar per musim kepada RM3,184.40 per hektar per musim.

“Pada masa yang sama, kementerian juga telah membuat permohonan peruntukan mengurus bagi tahun 2026 kepada kerajaan dengan  menaikkan kadar harga racun daripada RM200 per hektar per musim kepada RM300 per hektar per musim.

“Namun, permohonan ini tertakluk kepada kedudukan semasa kewangan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN