Sultan Johor ajak sektor swasta bantu tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

Sultan Johor ajak sektor swasta bantu tangani Covid-19

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM5 juta untuk kegunaan pembelian peralatan hospital di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar sektor swasta turut sama-sama membantu kerajaan dalam usaha melawan pandemik Covid-19 yang sedang meningkat ketika ini.

Baginda bertitah, sumbangan wang tunai daripada sektor swasta penting untuk memastikan sistem kesihatan di Johor khususnya terus dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan untuk merawat pesakit.

“Kita perlu menangani pandemik secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan.

“Saya berharap sektor swasta turut tampil dalam menghulurkan bantuan kewangan di mana peralatan-peralatan perubatan ini dapat disampaikan kepada hospital.

“Ketika ini kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat dengan bilangan jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital-hospital kerajaan di seluruh daerah turut meningkat,” titahnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM5 juta bagi membeli peralatan untuk keperluan hospital-hospital di negeri ini.

Baginda turut menerima permohonan bantuan senarai peralatan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menangani pandemik berkenaan.

Antaranya keperluan katil, oxygen regulator (bull nose), oxygen regulator (pin index), oxygen flow meter, 10L cylinder medical oxygen gas/regulator/trolly dan set tekanan darah tinggi serta pelbagai lagi barangan.

Titah baginda, sumbangan sektor swasta boleh disampaikan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pembelian barangan perubatan, manakala sumbangan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) akan digunakan untuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan.

“Rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat-Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu di kawasan masing-masing.

“Sejak April tahun lalu ribuan bantuan barangan keperluan makanan disampaikan kepada rakyat menerusi YSIJ di semua daerah,” titah Sultan Ibrahim.

Sektor swasta yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor ditalian 07-235 5252 atau Yayasan Sultan Ibrahim Johor ditalian 07-356 4848.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN