REMBAU: Sepasang suami isteri yang mengusahakan pokok strawberi tidak menyangka tanaman yang pada awalnya dibuat sebagai hobi bertukar sebagai sumber pendapatan.
Zulhelmi Badaruldzaman, 38, berkata, dia bermula dengan membeli tiga batang pokok strawberi tanah rendah dan sekarang memiliki lebih 300 pokok yang sentiasa berbuah.
Bekas eksekutif syarikat telekomunikasi itu menambah, selain buah, lebih 50 pokok strawberi dijual dengan harga antara RM12 hingga RM15 sepokok mengikut saiz.
“Pokok strawberi tanah rendah ini memang kami jual dan ia mendapat permintaan yang menggalakkan. Di samping itu, terdapat tiga pembuat kek di sekitar daerah ini pula sudah mula menempah buah strawberi.
“Tidak sangka pokok strawberi ini akan membantu membuka pendapatan kami sekeluarga memandangkan saya sudah lama tidak dapat berniaga air minuman di pasar malam disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Kledang, Kota, di sini semalam.
Sementara itu, isterinya, Misriah Mohamed Yahaya, 38, berkata, sejak memuat naik di media sosial komuniti setempat, ramai yang meluahkan keterujaan dan kagum daerah ini memiliki kebun strawberi.
Menurutnya, ada juga individu yang mengaitkan faktor cuaca yang sejuk menjadi penyebab tanaman strawberi mereka hidup subur serta membuahkan hasil.
“Oleh sebab itu saya menamakan kebun ini sebagai Kledang Hills Strawberry Kota sebagai pengubat rindu orang ramai yang sudah lama tidak dapat menjejakkan kaki ke Cameron Highlands untuk mendapatkan strawberi segar.
“Mereka boleh berkunjung ke sini untuk membeli pokok strawberi dan juga buah sekiranya sudah mengeluarkan hasil yang banyak nanti,” katanya.
Menurut Misriah, mereka berdua kini dalam perancangan untuk menambah lagi bilangan pokok strawberi sebaik sahaja tanaman cili bara mereka tamat mengeluarkan hasil tidak lama lagi.