SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim tidak memberi respons berhubung usul pemakaian baju kebangsaan (baju Melayu, bersampin dan bersongkok) yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd. Imran Tamrin hari ini.
Sebaik sahaja Mohd. Imran habis mengusulkan perkara tersebut, Timbalan Speaker, Hasnul Baharuddin terus memaklumkan Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 sesi pagi ditangguhkan.
“Ahli-ahli yang berhormat, masa telah menunjukkan pukul 1 petang. Oleh itu, saya menangguhkan dewan sehingga pukul 2.30 petang,” katanya ketika menamatkan sesi tersebut di Bangunan Annex, di sini hari ini.
Ketika mengusulkan perkara tersebut, Mohd. Imran berkata, Speaker perlu memberi kebenaran berhubung hal tersebut memandangkan baju kebangsaan sesuai dipakai di mana-mana majlis rasmi.
Menurutnya, ada di kalangan ahli Dewan yang selesa memakai baju kebangsaan tersebut ketika menghadiri sidang tersebut.
“Jadi, berilah kebebasan kepada Yang Berhormat untuk memakai baju ini ketika persidangan ini.
“Jangan kenakan undang-undang rigid dengan hanya membenarkan pakaian tersebut dipakai pada hari Jumaat,” katanya ketika mengusulkan perkara tersebut semasa sesi ucapan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pada persidangan lalu, ADUN Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail mengusulkan perkara sama di bawah Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Tetap Bagi Sidang DUN 1965 agar dewan mempertimbangkan semula keputusan dari Speaker.
Namun, Suee Lim terpaksa menolak usul tersebut kerana tidak mendapat sokongan satu pertiga ahli Dewan. – UTUSAN










