SPAN potong bekalan air haram di tapak pembangunan pejabat - Utusan Malaysia

SPAN potong bekalan air haram di tapak pembangunan pejabat

PEGAWAI penguat kuasa SPAN memotong bekalan air di sebuah tapak binaan di Damasara Perdana, Petaling Jaya, Selangor. - IHSAN SPAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA : Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memotong bekalan air di sebuah tapak pembangunan blok pejabat 17 tingkat di Damansara Perdana, Petaling Jaya, dekat sini semalam selepas didapati membuat penyambungan bekalan air tidak sah.

SPAN menerusi kenyataan akhbar memaklumkan, tindakan itu dilakukan selepas menerima aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) sebelum serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan SPAN.

Menurutnya, operasi itu dilakukan bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang.

“Hasil siasatan di tapak mendapati terdapat satu sambungan bekalan air tanpa melalui meter diambil secara terus daripada paip utama Air Selangor bersaiz 150mm. 

“Selain itu, didapati satu unit meter tidak sah dipasang bagi mengaburi perhatian awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

SPAN berkata, bekalan air itu digunakan bagi tujuan kerja pembinaan dan penggunaan harian untuk pekerja di lokasi berkenaan.

Katanya, tindakan pemotongan bekalan air dan penyitaan barang kes dilakukan serta-merta. 

“Pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini akan dipanggil untuk memberi keterangan dan berdepan tindakan perundangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN