CYBERJAYA : Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, tidak pernah mengeluarkan sebarang emel untuk melakukan urusan pemerolehan dan pembayaran kepada vendor antarabangsa.
SKMM dalam kenyataan memaklumkan, terdapat individu tertentu dikesan menggunakan nama pengerusi suruhanjaya itu menerusi alamat emel mencurigakan yang antara lain mengandungi arahan kepada Ketua Jabatan Kewangan dan Akaun SKMM itu berhubung urusan berkenaan.
“Bagaimanapun, hasil penelitian yang dijalankan mendapati, emel itu tidak pernah dikeluarkan oleh Pengerusi SKMM.
“Perlu ditegaskan di sini bahawa alamat emel rasmi bagi kakitangan SKMM berakhir dengan nama domain mcmc.gov.my dan bukannya nama domain lain,” katanya di sini hari ini.
SKMM berkata, pada masa sama, sebarang urusan rasmi suruhanjaya akan dimaklumkan secara telus dan terbuka dan bukannya melalui kandungan emel sedemikian.
Sehubungan itu, katanya, SKMM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan kewujudan emel mencurigakan menggunakan nama seseorang pemimpin organisasi kerana ia berkemungkinan besar satu taktik penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sekiranya tidak pasti mengenai kesahihan kandungan emel sebegini, hubungilah pihak berkuasa untuk pengesahan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE