Situasi di Persekutuan ganggu peralihan fasa PPN di NS

Situasi di Persekutuan ganggu peralihan fasa PPN di NS

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan sama ada Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) atau tidak sedikit terganggu ekoran situasi politik semasa di peringkat Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berdasarkan kes jangkitan Covid-19 dan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital yang menunjukkan penurunan selain jumlah pemberian dos vaksin yang baik, Negeri Sembilan sememangnya sudah bersedia untuk beralih ke fasa seterusnya dalam PPN.

Namun jelas beliau, ekoran Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak dapat dijalankan, keputusan berkenaan perkara itu tidak dapat dibuat.

“Kerajaan negeri menantikan untuk peralihan ke fasa seterusnya iaitu fasa dua, MKN Negeri Sembilan juga sudah memohon supaya kita berpindah fasa tetapi oleh kerana keadaan yang berlaku di peringkat Pusat mesyuarat MKN yang sepatutnya berlangsung pada setiap minggu, tidak dijalankan pada minggu lepas, minggu ini pun tiada.

“Insya-Allah jika mesyuarat MKN dapat dibuat semula pastinya kita boleh beralih ke fasa dua. Bila akan beralih itu bergantung kepada mesyuarat MKN, itulah apabila dua minggu tiada mesyuarat, bagi kita memang ada sedikit gangguan,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang akhbar secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) awam akan ditutup operasinya pada hujung minggu ini ekoran masalah kekurangan bekalan vaksin di negeri ini.

“Minggu ini Negeri Sembilan mendapat vaksin yang agak kurang daripada pihak Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Persekutuan, biasanya kita dapat sekitar 25,000 dos sehari tetapi minggu ini sekitar 21,000 dos sahaja.

“Dos vaksin ini kita diberikan seminggu sekali jadi kita perlu jadualkan dalam tempoh tujuh hari. Oleh itu kemungkinan ada beberapa PPV awam yang terpaksa kita tutup hujung minggu ini kerana kita tiada vaksin untuk diberikan, kita berharap Negeri Sembilan dapat diberikan lebih sedikit vaksin pada minggu hadapan,” kata Aminuddin lagi.

Dalam pada itu, tambah Menteri Besar, setakat ini seramai 539,975 atau 66.3 peratus penduduk berusia 18 tahun di negeri ini telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN