Sindiket seleweng minyak masak botol tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket seleweng minyak masak botol tumpas

ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP memeriksa minyak masak bersubsidi dekat sebuah lokasi yang diserbu di Puchong, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Satu sindiket penyelewengan minyak masak dikesan sanggup memproses dan membotolkan semula bahan itu bagi mengaut keuntungan dengan menjualnya pada harga lebih tinggi.

Sindiket itu dikatakan memotong peket 1 kilogram (kg) minyak bersubsidi dan memindahkannya ke dalam sebuah tangki khas untuk diproses dalam pek pembotolan.

Taktik licik itu digunakan berikutan penjualan minyak masak berbotol lebih mahal harganya berbanding minyak masak peket 1 kg.

Kegiatan haram itu bagaimanapun dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Selangor yang menyerbu dua premis di Puchong, kira-kira pukul 1 petang semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan selama sebulan mengenai aktiviti penyelewengan di dua premis pemborong minyak masak berlesen tersebut.

“Kita berjaya menemukan sejumlah 18,000 kg minyak masak dan 8,775 kg daripadanya merupakan minyak masak bersubsidi peket 1 kg.

“Dalam serbuan itu, empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia 30 hingga 50 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pihaknya turut merampas dua lori, sebuah tangki dan jentera forklift yang digunakan sindiket berkenaan.

“Turut dirampas, sejumlah plastik minyak masak 1 kg yang dipotong dan botol minyak masak yang digunakan untuk membuat pemindahan.

“Nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan berjumlah RM245,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN