Sidang Parlimen jadi sia-sia akibat pembangkang - Pas Johor - Utusan Malaysia

Sidang Parlimen jadi sia-sia akibat pembangkang – Pas Johor

RUSMAN KEMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas Johor melabel ahli-ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang majoritinya pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempamerkan wajah dan perangai jelek mereka apabila menjadikan sidang Parlimen tidak ubah seperti pasar lelong, hingar bingar dan sangat memalukan.

Ketua Penerangan Pas negeri, Rusman Kemin berkata, Sidang Khas Parlimen yang berlangsung selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai lalu menyaksikan perjalanannya dipersia-siakan begitu sahaja hingga menyimpang jauh daripada apa yang diharapkan.

Katanya, tujuan persidangan yang diperuntukkan untuk membincangkan isu pandemik Covid-19, menyelesaikan masalah rakyat dan negara telah bertukar menjadi gelanggang pertengkaran yang menjengkelkan untuk ditonton.

“Mereka berhujah dengan penuh emosi menuduh kerajaan sebagai penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu, kononnya merekalah pejuang yang mahu mempertahankan institusi istana.

“Sedangkan merekalah yang paling kerap menghina raja-raja Melayu dan kalangan mereka juga yang telah meminda Perlembagaan sehingga mengehadkan imuniti raja-raja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusman berkata, tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang disifatkan bermuka-muka itu tidak ubah seperti penderhaka yang melakonkan watak taat kepada raja-raja Melayu.

Katanya, jika diimbas kembali sepanjang sejarah politik kotor pemimpin daripada blok pembangkang, merekalah yang paling banyak melakukan penghinaan terhadap institusi raja-raja Melayu selama ini.

“Inilah kumpulan si penderhaka yang sedang melakonkan watak taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu yang mesti kita sedar akan permainan mereka untuk mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti dengan menuduh kerajaan hari ini sebagai penderhaka.

“Kita sedar bahawa kerajaan yang ada ini mempunyai kelemahan dalam beberapa perkara namun kita juga kena sedar bahawa kerajaan hari ini juga telah mengambil satu tanggungjawab yang besar dan sangat berat kerana negara kita dan seluruh dunia sedang berdepan dengan ujian yang dahsyat iaitu Covid-19.

“Kami sekali lagi mengulangi seruan Yang di-Pertuan Agong agar semua berhenti seketika berpolitik dan tumpukan sepenuh perhatian untuk menangani masalah pandemik Covid-19 dan pemulihan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN