Siasatan ke atas Ahli Parlimen buang masa, tenaga polis - Guan Eng - Utusan Malaysia

Siasatan ke atas Ahli Parlimen buang masa, tenaga polis – Guan Eng

LIM Guan Eng dan Rayer ketika hadir ke ibu pejabat polis Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang hari ini bagi memberi keterangan berhubung kes perarakan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan siasatan polis berhubung isu perarakan ahli Parlimen di Dataran Merdeka sebagai membuang masa dan tenaga pihak berkuasa yang sepatutnya ditumpukan untuk melindungi rakyat serta menjaga keamanan.

Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, siasatan itu jelas bermotifkan politik dan adalah tekanan terhadap ahli Parlimen pembangkang dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Tindakan ini mungkin juga untuk mempengaruhi kami bagi membuat sesuatu, tetapi ia tidak akan berjaya.

“Semua Ahli Parlimen yang dipanggil (bagi memberi keterangan) kita rasa seperti dihina sebagai wakil rakyat yang mahu menjalankan tugas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Timur Laut di sini hari ini dengan ditemani peguam, RSN Rayer.

Semalam, polis turut mengambil keterangan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong dan Rayer (Ahli Parlimen Jelutong) berhubung siasatan kes sama.

Menurut Guan Eng, siasatan polis terhadap Ahli Parlimen pembangkang itu juga melanggar usul yang telah diluluskan di Parlimen tahun lalu berikutan sidang Parlimen masih belum ditangguhkan secara rasmi.

Usul itu jelasnya, adalah berhubung perintah yang mengarahkan Ketua polis Negara untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat ke Dewan Rakyat tanpa sebarang halangan.

“Sidang ini masih belum ditangguhkan secara rasmi, jadi semua usul yang dipersetujui pada tahun lalu masih berkuat kuasa.

“Tapi nampaknya apa yang berlaku adalah kami dihalang, polis perlu jawab mengapa menghalang Ahli Parlimen menjalankan tugas untuk masuk ke pejabat,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu, Guan Eng; Rayer dan Kon Yeow merupakan antara Ahli Parlimen yang menyertai perarakan pembangkang di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Turut menyertai perarakan tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberikan keterangan berhubung isu sama.

Mereka diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN