CYBERJAYA: Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas terperangkap dalam sebuah kereta yang musnah terbakar dalam kejadian di Putrajaya Link, menghala Tol Putrajaya. di sini pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Mohmad Rashid Mohmad Said berkata, pihaknya menerima maklumat behubung kejadian itu kira-kira pukul 9.57 pagi.
“Sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat dan setibanya di lokasi kira-kira pukul 10.18 pagi, didapati berlaku kebakaran kereta jenis Honda City yang hangus 100 peratus.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua mangsa lelaki berbangsa Cina yang mana seorang mangsa terperangkap di dalam kereta manakala seorang mangsa lagi tercampak keluar daripada kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa yang terperangkap tersebut bagaimanapun dikeluarkan oleh orang awam sebaik sahaja bomba tiba.
Tambahnya, pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran pada kenderaan terbabit bermula pada pukul 10.19 pagi dengan menggunakan satu aliran salur bantu air tangki.
“Dalam masa sama, anggota membuat pemeriksaan rapi bagi memastikan tiada berlaku kebakaran lagi,” katanya.
Katanya, mangsa yang maut dikenali Ong Ka Hou, 26, telah pun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE










