PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan kepada semua parti politik supaya mengangkat perpaduan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat untuk memberi fokus kepada pentadbiran negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka mengingatkan supaya ahli-ahli politik membantu satu sama lain tanpa mengira mereka di blok kerajaan atau pembangkang.
“Baginda turut menzahirkan pandangan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat harus memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar segera,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama dalam negara di Istana Negara.
Manakala, satu pertemuan khas akan berlangsung membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan Raja-raja Melayu pada Jumaat ini dijangka untuk membincangkan isu bakal calon perdana menteri dan kerajaan.
Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya.
“Semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan. Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua dan yang kalah pula tidak kalah semua,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










