BALIK PULAU: Semua agensi dan jabatan di Pulau Pinang diarah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir melanda lagi berikutan ramalan cuaca hujan hari ini dan esok di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, beliau telah meminta ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan terlibat mengumpul maklumat serta jumlah mangsa yang terlibat dengan kejadian banjir semalam.
Katanya, maklumat itu diperlukan supaya kerajaan negeri dapat menilai dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terlibat seberapa segera.
“Kerajaan negeri bersimpati dengan mangsa-mangsa yang terlibat dengan kejadian banjir ini dan akan membantu mereka.
“Saya turut meninjau rumah-rumah mangsa terlibat dan mendapati banyak mengalami kerosakan peralatan elektrik,” katanya di sini hari ini.
Lebih 500 rumah membabitkan 2,000 penduduk di Parlimen Balik Pulau, di sini dilanda banjir semalam selepas hujan lebat beberapa jam bermula pukul 12.30 tengah yang diburukkan lagi dengan air laut pasang.
Antara lokasi yang terjejas teruk adalah Kampung Masjid dan Kampung Sulup di Teluk Kumbar iaitu membabitkan kira-kira 300 buah rumah dengan 1,500 penduduk di kawasan tersebut.
Menurut Ahmad Zakiyuddin, pihaknya akan menunggu laporan dan maklumat penuh daripada agensi yang terlibat sebelum memutuskan bentuk bantuan yang akan disalurkan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya serta ADUN-ADUN di kawasan Balik Pulau sedang membuat pemantauan dan merekodkan jumlah mangsa yang terlibat serta memerlukan bantuan segera.
“Kami juga telah menyalurkan bantuan makanan dan minuman kepada semua mangsa banjir sejak semalam,” katanya.
Dalam pada itu tinjauan Utusan Malaysia di kawasan terlibat banjir khususnya di Teluk Kumbar mendapati penduduk sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah masing-masing yang dicemari sisa-sisa banjir.
Air juga mulai surut sepenuhnya bermula awal pagi ini selepas naik melebihi 0.5 meter di kebanyakan kawasan di Teluk Kumbar bermula petang semalam sehingga tengah malam tadi. – UTUSAN ONLINE










