JOHOR BAHRU: Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor disahkan negatif Covid-19 dan diberi kebenaran untuk menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali memberitahu, ini termasuklah ADUN Tenang, Solihan Badri dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.
Menurut beliau, kedua-dua wakil rakyat itu yang dilaporkan positif Covid-19 sebelum ini telah melengkapkan tempoh kuarantin mereka.
“Kami semua (56 ADUN) telah diuji negatif untuk Covid-19 dan telah diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa untuk menghadiri Sidang DUN berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar Sidang DUN Johor kembali diadakan pada 12 Ogos setelah ditangguhkan sementara akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Baginda juga dilaporkan berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
Sehubungan itu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat memberitahu kesemua 56 ADUN dan pegawai serta petugas perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum Sidang DUN Johor kembali bersidang.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan turut mengesahkan kesemua 27 ADUN pembangkang negatif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan.
“Buat masa ini saya tidak dimaklumkan oleh mana-mana ADUN bahawa mereka tidak akan menghadiri Sidang DUN ini.
“Ini termasuklah Muhamad Said yang telah melengkapkan tempoh kuarantin beliau selama 21 hari dan kini berada dalam keadaan kesihatan yang baik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE