Selesaikan segera isu keresahan rakyat - Utusan Malaysia

Selesaikan segera isu keresahan rakyat

SEKUMPULAN peserta berpakaian hitam duduk di atas jalan raya ketika protes #Lawan di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja, Kuala Lumpur. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan dalam menyelesaikan pelbagai isu yang membabitkan keresahan rakyat, malah saluran komunikasi harus dibuka seluas-luasnya.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan menegaskan, ketika ini tahap kepercayaan di antara pihak kerajaan dan rakyat amat rendah.

Sebab itulah katanya, timbul anak muda yang mengadakan demonstrasi keluar dan lawan di pusat bandar kelmarin.

“Kerajaan tidak boleh membuat persepsi bahawa segala proses demokrasi itu tertutup.

“Begitu juga dengan krisis di istana, kerajaan perlu pamerkan bahawa mereka akan berusaha menyelesaikan isu itu dan bukannya menepis dengan me­ngalih pandangan kepada isu lain,” katanya di sini semalam.

Beliau bagaimanapun tidak setuju dengan tindakan anak muda terlibat kerana ia boleh mengundang persepsi tidak be­tul dan boleh memudaratkan.

“Walaupun mereka mengatakan mengikuti prosedur operasi standard (SOP), persepsi pelbagai pihak tidak seperti yang mereka gambarkan,” katananya.

Kelmarin, sejumlah individu memakai baju hitam menga­dakan demonstrasi sambil melaungkan ‘Hidup Rak­yat’, ‘Bangkit Anak Muda’ dan ‘Kerajaan Gagal’, dengan kebanyakannya mengecam kerajaan.

Seorang lagi penganalisis, Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, kerajaan tidak boleh sekadar berdiam diri tetapi harus memberi reaksi dengan segera terhadap isu yang berbangkit.

“Kerajaan perlu membentangkan pelan tindakan sewajarnya agar keresahan rakyat dapat diredakan,” katanya.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Halim Ishak menyifatkan perhimpunan itu ‘sekumpulan gagak hitam yang tiada haluan’.

“Anak-anak muda yang boleh dikategorikan ‘jiwa kacau dan mudah koyak’ ini telah dipe­ngaruhi pihak yang mempunyai agenda tertentu,” katanya.

Tegasnya, tindakan mereka mencabar agensi keselamatan ketika negara menyambut Hari Pahlawan 2021 dan Majlis Ke­selamatan Negara (MKN) sedang giat menangani Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya