PETALING JAYA: “Sekarang adalah masa untuk semua pihak duduk dalam satu saf dan menggembleng seluruh tenaga demi memastikan Malaysia menang bersama melawan pandemik Covid-19”.
Demikian ditegaskan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berpandangan, pertelagahan politik tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Selain menyokong penuh cadangan kerjasama rentas parti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jelas beliau, kerjasama itu membuka ruang semua parti melibatkan diri dalam usaha memerangi Covid-19.
Ini katanya, selari dengan konsep ‘whole of nation’ dan ‘whole of society’ yang diamalkan kerajaan sekali gus kembali kepada fokus utama iaitu rakyat.
“Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan komitmen kita meneruskan reformasi tadbir urus negara. Mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, memperkenalkan satu rang undang-undang baru untuk Undi 18 dan perubahan dalam proses Parlimen.
“Kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada pembangkang dan Ketua Pembangkang semuanya adalah antara reformasi yang diperlukan oleh negara setelah pelbagai kerosakan yang kita warisi daripada golongan kleptokrat dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, pengumuman Perdana Menteri seharusnya menjadi mekanisme tuntas untuk menghentikan usaha berterusan golongan kleptokrat dan semua penyokong mereka untuk merampas kuasa demi kepentingan peribadi.
Katanya, golongan kleptokrat dan penyokong mereka tidak meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan pengumuman berani dan ikhlas itu menunjukkan usaha kluster mahkamah untuk membunuh karakter Muhyiddin gagal.
“Saya menyeru agar semua ahli politik daripada semua parti menyokong cadangan-cadangan Perdana Menteri kerana ini adalah butang ‘reset’ untuk kita menumpukan kebajikan rakyat dan membina semula ekonomi negara,” jelasnya.










